Saksi bagi perbicaraan 1MDB, Nur Aida Ariffin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 5 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Salah seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kes penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) mendakwa pernah menerima arahan untuk menghentikan siasatan pada 2016.

Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin mendakwa arahan tersebut diterima selepas pelantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut siapa yang mengeluarkan arahan itu.

Nur Aida mendakwa, ketika itu juga wujud konspirasi bagi menggulingkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak turut melibatkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Sementara itu, mahkamah hari ini diperdengarkan sembilan rakaman audio perbualan di antara Najib dan beberapa individu berprofil tinggi berhubung kes 1MDB.

Antaranya ialah perbualan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Salleh; bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Dzulkifli.

Nur Aida yang merupakan saksi ke-49 turut membuat pengecaman suara-suara dalam rakaman tersebut sambil diperhatikan oleh Najib dari kandang tertuduh.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menerima salinan surat derma Arab Saudi kepada Najib namun tidak menerima surat asal yang ada dalam pemilikan bekas Perdana Menteri itu.

Nur Aida dibenarkan dilepaskan selepas saksi sebelum prosiding bersambung dengan saksi baharu, Jasmine Loo yang mula memberikan keterangan petang ini.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama. – MalaysiaGazette