Timbalan Presiden FAM, Datuk S.Sivasundaram bercakap pada sidang Media ketika Mesyuarat Ke-10, Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya. Foto SYADILA AMARI, 13 FEBRUARI 2024.

PETALING JAYA – Penggunaan Teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada 2024 bakal diumumkan tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S.Sivasundaram berkata, Liga Super bakal menjadi medan pertama yang akan menggunakan VAR pada musim 2024 ini selepas April nanti.

Ketika ini FAM sedang menunggu pengesahan serta kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk penggunaan VAR secara rasmi dalam liga tempatan.

FAM juga sedang menunggu kedatangan pasukan pengadil VAR dari FIFA ke sini.

“FIFA akan menjemput delegasi pasukan VAR FIFA yang akan tiba ke ibu negara pada 17 April ini dan mereka akan berada sehingga 22 April untuk  menjalankan penilaian dan pemantauan terhadap penggunaan teknologi VAR di lapangan, ujian keberkesanan serta pemantauan siaran langsung.

“Setelah berpuas hati, barulah mereka akan memberikan pengiktirafan untuk pelaksanaan teknologi VAR dalam liga tempatan dan selepas itu kita boleh jangkakan penggunaannya dalam liga tempatan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Ke-10 bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM yang dipengerusikan oleh Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM Kelana Jaya di sini hari ini.

Tambah beliau,  sebelum ini seramai 21 pengadil beserta 20 penolong pengadil serta sembilan orang ‘replay referee’ telah selesai menjalani latihan pengendalian teknologi VAR.

Katanya, latihan pengendalian teknologi VAR telah dikendalikan dalam tiga fasa iaitu
Fasa pertama pada 15 dan 16 Julai 2023 diikuti fasa kedua dari 26 Ogos hingga 11 September 2023 dan fasa ketiga selesai dijalankan pada November hingga Disember tahun lalu.

“Kita memang mahu menggunakan VAR dalam liga Malaysia bagi mengurangkan kesilapan pengadil perlawanan semasa mengendalikan permainan di atas padang.

“Kita juga mahu bergerak seiring dengan ledakan teknologi dalam dunia sukan bola sepak dunia yang mana kebanyakan negara telah melaksanakannya dalam liga mereka dengan pengiktirafan FIFA.

“Malaysia juga perlu gerak seiring agar tidak ketinggalan dalam memperbaiki kualiti bola sepak kita di pentas antarabangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette