Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) menyaksikan penyerahan Projek Siap Kerja Trek Sintetik Stadium Darul Makmur, di sini hari ini

KUANTAN – Perbadanan Stadium Negeri diseru lebih kreatif untuk mencari dana sendiri dan tidak hanya bergantung kepada peruntukan diberi kerajaan sahaja.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia bagi memastikan fasiliti sentiasa dalam keadaan terbaik tanpa perlu menunggu kelulusan peruntukan kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

“Sebab itu Perbadanan Stadium perlu cari jalan ramaikan penonton. Saya nyatakan bahawa industri sukan ini perlukan penonton, di mana ada penonton, di situ ada dana.

“Itu sebab, sukan yang sudah popular seperti bola sepak dan badminton mempunyai ramai penonton dan mereka senang mencari penaja,” katanya.

Hannah Yeoh

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Siap Kerja Trek Sintetik Stadium Darul Makmur, di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal.

Dalam pada itu, Hannah juga mencadangkan agar fasiliti di stadium negeri dibuka secara percuma kepada orang awam seperti dilakukan di Stadium Nasional Bukit Jalil sejak Oktober tahun lalu.

“Kalau kita nak tunggu pihak swasta atau pihak sekolah untuk mampu membayar sewa itu, kita akan tunggu lama. Jadi kita buat keputusan, di Bukit Jalil, kita buka trek larian untuk hari sukan di sekolah-sekolah untuk datang secara percuma.

“Selepas kita buat keputusan bulan Oktober untuk buka, 17 sekolah dah masuk untuk hari sukan mereka. Dan bila pengunjung datang, pelajar datang, ibu bapa akan datang. Jadi dia ada peluang untuk buat advertisement untuk cari dana untuk stadium,” jelasnya.

Justeru, beliau menyarankan agar Perbadanan Stadium Negeri turut melakukan perkara yang sama supaya kanak-kanak boleh mengakses fasiliti sukan yang bagus, seterusnya dapat mencungkil bakat dalam sukan.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM14.5 juta bagi membiayai kemudahan fasiliti sukan di Negeri Pahang dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK-12).

Pada tahun 2023, pihak kementerian telah menyalurkan RM4.6 juta bagi pembaikan berkala fasiliti sukan di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia khususnya di Negeri Pahang. – MalaysiaGazette