Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hadir ke Majlis Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 FEBRUARI 2024.

IPOH – Tiga anggota polis trafik yang ditahan berhubung kejadian tular meminta wang RM100 daripada pasangan pelancong asing warga United Kingdom (UK) bagi menyelesaikan saman kesalahan trafik, sudah ditahan kerja.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menghantar kertas siasatan berhubung tiga anggota itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

“Kita sudah pun menghantar kertas siasatan pada kepada AGC, dan itu terserah kepada keputusan Peguam Negara tentang keputusan berkenaan (sama ada diteruskan dengan pendakwaan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tahun 2024 di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah PGA Jabatan KDNKA, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi serta Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret, di sini pada 1 Februari lalu menolak permohonan sambung reman tiga anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berusia antara 37 hingga 42 tahun berkenaan.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini ditahan reman tiga hari bermula 30 Januari dan berakhir 1 Februari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dalam kejadian yang tular di media sosial itu, seorang anggota trafik dilihat menahan kenderaan pelancong dan menawarkan bayaran saman RM100 jika saman itu dibayar di lokasi kejadian berbanding RM300 di balai polis bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Kejadian itu membabitkan pasangan pelancong dari UK yang juga pencipta kandungan YouTube.

Kejadian itu juga sempat dirakam dan dimuatnaik  saluran YouTube milik pasangan itu, ‘UK Van Lifers’. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast