Sebuah bot tunda bersama tongkang ditahan oleh Maritim Malaysia kerana dipercayai bersauh secara haram dan menceroboh taman laut di kedudukan lebih kurang 0.2 batu nautika barat Tanjung Duata, perairan Pulau Tioman semalam.

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang  menahan sebuah bot tunda bersama tongkang kerana dipercayai bersauh secara haram dan menceroboh taman laut di kedudukan lebih kurang 0.2 batu nautika barat Tanjung Duata, perairan Pulau Tioman semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Makmur dan Op Tiris di perairan Pulau Tioman telah mengesan sebuah bot tunda dan tongkang dengan muatan arang batu anggaran lebih kurang 7.4 tan metrik sedang bersauh dalam keadaan mencurigakan.

”Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda menggunakan nama TB LL ARMAINI dan  tongkang BG LL 3022 gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan menceroboh kawasan taman laut tanpa kebenaran.

”Bot tunda dan tongkang itu dikendalikan 10 kru termasuk nakhoda warganegara Indonesia berumur lingkungan 19 hingga 51 tahun ditahan kerana mempunyai beberapa dokumen bot yang meragukan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen melapor ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia.

Kes juga disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh di dalam kawasan taman laut oleh Ketua   Malaysia.

Kamal Ariffin berkata, tindakan akan diambil oleh Maritim Malaysia tanpa kompromi dengan mana-mana pihak dalam usaha membanteras aktiviti menceroboh taman laut dan bersauh secara haram ini.a. – MalaysiaGazette