Mohamed Usuf (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Dua pengedar dadah tidak sempat menghantar bekalan apabila mereka diberkas polis bersama ganja dalam sebuah kereta di Teluk Kumbar dekat sini, pada 10 Februari lalu.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 23 dan 35 tahun yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri jam 8.30 malam itu turut membawa kepada rampasan ganja hampir 20 kilogram (kg) bernilai RM62,000.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, ketulan mampat ganja itu disembunyikan dalam beg sebelum ditempatkan di bahagian but kereta jenis Honda City tersebut.

Mohamed Usuf menunjukkan kereta dinaiki suspek yang disita serta lokasi ganja itu ditempatkan.

“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai mendapat bekalan dadah dari rangkaian sindiket dan ia untuk pasaran tempatan di negeri ini.

“Kedua-dua suspek ini tidak mempunyai pekerjaan dan mereka aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Disember lalu.

“Selain itu, hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek ini positif dadah,” katanya pada sidang media di IPK di sini, hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman selama seminggu sehingga 16 Februari ini bagi siasatan lanjut mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast