Nadzri menunjukkan barangan rampasan rokok, minuman keras dan kereta mewah bernilai RM5.84 juta dalam enam serbuan berasingan di Melaka, Selangor dan Johor sepanjang bulan lalu.

MELAKA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok, minuman keras dan kereta mewah bernilai RM5.84 juta dalam enam serbuan berasingan di Melaka, Selangor dan Johor sepanjang bulan lalu.

Pengarah JKDM Melaka, Nadzri Che Ani berkata, dalam siri serbuan bermula 2 hingga 29 Januari lalu, turut ditahan adalah tiga individu tempatan termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Menurutnya, rampasan terbesar melibatkan 3.8 juta batang rokok pelbagai jenama bernilai RM2.8 juta di sebuah gudang di kawasan perindustrian Ulu Tiram, Johor pada 29 Januari lalu.

“Kesemua rokok berkenaan ditemui dalam keadaan berbalut plastik hitam yang disembunyi dalam beberapa bilik khas di gudang terbabit.

“Manakala dalam satu lagi serbuan 28 Januari lalu, kita merampas 2.7 juta batang rokok putih bernilai RM2.2 juta dari sebuah lori di Jalan Kluang-Kota Tinggi selepas pemeriksaan mendapati kotak-kotak berisi rokok itu tidak mempunyai setem cukai Kastam,” katanya.

JKDM turut merampas sebuah kereta mewah jenis Porsche Panamera bernilai RM286,000 di Jasin, pada 18 Januari lalu .

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Kastam Melaka, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tambahnya, turut ditahan dalam serbuan itu adalah seorang pemandu berusia 50-an kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan dagangan rokok berkenaan.

Nadzri berkata, JKDM turut merampas sebuah kereta mewah jenis Porsche Panamera bernilai RM286,000 di Jasin, pada 18 Januari lalu hasil daripada maklumat risikan.

“Kereta mewah berwarna putih yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu ditemui ditutup dengan sehelai kain di kawasan pagar sebuah kediaman.

“Sementara itu dalam serbuan di sebuah premis kediaman di Semabok pada 2 Januari lalu kita berjaya berjaya merampas 3,026 liter minuman keras melibatkan cukai berjumlah RM120,514.13,” katanya.

Tambahnya, kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast