Tuesday, November 5, 2024
Home Nasional Kes Nik Elin mengajar kita untuk kembali kepada al Quran – Aireroshairi

Kes Nik Elin mengajar kita untuk kembali kepada al Quran – Aireroshairi

musang king
Aireroshairi Roslan

KUANTAN –  Ketua Penerangan Pas Pahang, Aireroshairi Roslan menyelar tindakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang didakwanya jahil tentang agama Islam apabila mencabar Enakmen Jenayah Syariah (I) Kelantan di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu.

Katanya, walaupun masyarakat difahamkan Nik Elin Zurina bukan menentang syiar Islam dan hanya membabitkan isu teknikal perundangan namun melihat kepada penampilannya menunjukkan sebaliknya.

“Dalam kes Nik Elin yang semakin berani mengutarakan pendapat-pendapatnya tentang Islam, tentang tidak ada paksaan dalam melaksanakan amal agama.

“Penampilannya yang sangat berbeza dari penampilan muslimah, menunjukkan bahawa dia seorang yang sangat jahil tentang Islam.

“Tindakan mencabar enakmen jenayah syariah telah diragui sejak mula lagi oleh majoriti Muslim,” dakwanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 9 Februari lalu,Nik Elin Zurina bersama anaknya dari Kelantan hari ini berjaya dalam permohonan pembatalan terhadap 16 peruntukan enakmen kesalahan jenayah negeri terbabit.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Mereka mencabar Perlembagaan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Seksyen yang dibatalkan adalah Seksyen 11 (mengenai pemusnahan tempat ibadat, Seksyen 14 (liwat), Seksyen 17 (persetubuhan dengan haiwan), Seksyen 31 (gangguan seksual), Seksyen 34 (memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu), Seksyen 35 (mabuk), dan Seksyen 42 (penyalahgunaan label halal).

Aireroshairi mendakwa, perbuatan itu memberi kesan sesuatu berita yang diterima kepada masyarakat sangat besar dan berpanjangan.

Jelasnya, sama ada kesan baik atau buruk kepada masyarakat tetap berlaku apabila sesuatu berita itu dianggap benar.

Menurut Aireroshairi berkata, lebih penting daripada berita adalah keabsahannya sangat bergantung kepada penyampai berita tersebut.

“Kebejatan sebahagian muslim yang lebih mengagungkan bahasa Inggeris, suit dan tali leher Barat sedangkan dalam masa yang sama mempunyai prejudis terhadap ulama telah menyumbang kepada keraguan hari ini.

“Allah telah menyatakan dengan jelas hubungan antara berita, penyampainya dan apa tindakan kita dengan firmannya dalam surah Al-Ḥujurāt ayat enam.

”Kes Nik Elin mengajar kita untuk kembali kepada al Quran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast