KLANG – Salah satu mayat mangsa nahas udara pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, dekat sini, dituntut ahli keluarganya petang ini.
Mayat mangsa, Roshaan Singh Raina, 42, dibawa keluar dari Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada jam 3.08 petang tadi.
Jasad mangsa dibawa menaiki kenderaan Vellfire berwarna putih syarikat perkhidmatan keranda, Sai Sivam Casket, selepas proses bedah siasat selesai jam 12.15 tengah hari.
Mayat Roshaan kemudiannya akan dibawa ke kampung halamannya di Sunway Lenang, Kota Tinggi, Johor untuk pengebumian.
MalaysiaGazette difahamkan, jasad mangsa itu akan dikebumikan esok.
Semalam, sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel (nombor pendaftaran I-POOC), yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.
Bagaimanapun pesawat itu dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Muda, Kapar, beberapa minit selepas berlepas. – MalaysiaGazette