Ketua Polis Daerah Klang Utara, S. Vijaya Rao. Foto WAN NABIL NASIR, 14 FEBRUARI 2024.

KLANG – Hasil bedah siasat ke atas dua mangsa nahas pesawat ringan di Kampung Tok Muda, Kapar, dekat sini, mendapati kematian berpunca daripada pelbagai kecederaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, bedah siasat ke atas juruterbang dan penumpang pesawat terbabit mengambil masa lebih dua jam itu bermula jam 10 pagi di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTRA).

“Punca kematian adalah disebabkan pelbagai kecederaan akibat nahas pesawat,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Jabatan Forensik HTAR, di sini, hari ini.

Semalam, sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel (nombor pendaftaran I-POOC), yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 1.28 petang pada Selasa bagi penerbangan rekreasi.

Bagaimanapun pesawat itu dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Muda, Kapar, di sini.

Sementara itu, Vijaya memberitahu, selepas selesai bedah siasat, pihaknya membuat pengecaman kedua-dua mayat mangsa melalui cap jari.

“Polis mengesahkan mangsa pertama merupakan seorang juruterbang bernama Daniel Yee Hsiang Khoon berumur 31, dan mangsa kedua Roshaan Singh Raina, 43,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast