BUTTERWORTH – Lima individu termasuk pasangan suami isteri dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu Hospital Pulau Pinang (HPP) pada empat tahun lalu.
Pasangan suami isteri, T.D Vasudevan,28; dan D. Carolina,28; bersama-sama G. Mukuntan,28; M. Harrvinthan, 27; dan R. Gobinath,43 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan Vasudevan dan isterinya, Carolina masing-masing berdepan dua pertuduhan.
Manakala Gobinath didakwa dengan tiga pertuduhan dan Harrvinthan pula empat pertuduhan
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza di George Town dan Bayan Lepas iaitu tempat bekerja masing-masing antara 24 Januari hingga 6 Oktober 2020.
Kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli manakala kelima-lima tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Afiqa Liyana meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh agar ia dapat dijadikan pengajaran oleh pesalah serta masyarakat.
Bagaimanapun, dalam rayuan lima tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman minimum kerana kebanyakan mereka meminjam wang daripada saudara mara serta jiran untuk membayar denda susulan tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara keluarga dan ibu bapa yang uzur.
Hakim Zulhazmi kemudian menjatuhkan denda RM1,500 dan penjara sehari terhadap setiap tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette