Saifuddin Nasution Ismail.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa menjalankan pemantauan yang berterusan membabitkan semua perkara yang boleh menyumbang kepada ketidakketenteraman awam.

Tidak terlepas adalah reaksi awam berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemantauan kementeriannya melibatkan semua perkara dan elemen yang boleh menyumbangkan kepada ketidakketenteraman awam yang menjadi tugas hakiki pihaknya.

“Maksudnya keputusan Mahkamah Persekutuan itu secara spesifik merujuk kepada cabaran yang juga spesifik, di sebalik kenyataan Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) yang sangat jelas, yang mana ia bukan berkaitan dengan mencabar Islam atau pun menggugat instiusi dan peranan mahkamah syariah.

“Ia berkisar kepada aspek cabaran terhadap bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat undang-undang tersebut. Kita berpendapat rakyat boleh menilai secara objektif terhadap dakwaan yang mengatakan keputusan itu mencabar Islam, undang-undang syariah dan sebagainya.

“Pemantauan polis terhadap keputusan ini dalam bentuk reaksi awam itu adalah berterusan yang dilakukan dan tiada tumpuan istimewa untuk insiden ini sahaja,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Kompleks Perkasa Setia, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tentang reaksi orang ramai mengenai keputusan panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendengar petisyen Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin Nastasha yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah . – MalaysiaGazette