Reaksi Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Abdul Rahman selepas Mahkamah memutuskan 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan adalah tidak sah ketika di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 09 FEBRUARI 2024.

MAHKAMAH Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina dan Kerajaan Negeri Kelantan baru-baru ini dengan keputusan majoriti 8-1 telah membenarkan permohonan pempetisyen dan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah (I) 2019 Negeri Kelantan adalah batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat peruntukan-peruntukan tersebut.

Berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan, inti pati 16 peruntukan tersebut adalah berkenaan perkara di bawah Senarai Persekutuan, iaitu di bawah kuasa perundangan Parlimen. Manakala dua lagi peruntukan yang turut dicabar iaitu seksyen 13 dan seksyen 30 di bawah Enakmen yang sama diputuskan sebagai sah kerana kedua-dua peruntukan tersebut adalah berkaitan perkara di bawah kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan.

Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai kuasa perundangan untuk menggubal undang-undang jenayah syariah berkaitan kesalahan-kesalahan tersebut. Keputusan ini turut mendatangkan implikasi terhadap penguatkuasaan dan pendakwaan berkaitan 16 peruntukan tersebut oleh pihak berkuasa Negeri Kelantan.

Ini juga membawa kepada kemungkinan percubaan oleh mana-mana pihak yang didakwa dengan peruntukan yang sama atau hampir sama di bawah undang-undang jenayah syariah di negeri-negeri lain untuk mencabar keabsahan peruntukan-peruntukan tersebut pada masa akan datang. Kes ini juga menunjukkan terdapatnya pertindihan undang-undang jenayah di bawah undang-undang jenayah syariah negeri dan undang-undang Persekutuan berkaitan kesalahan-kesalahan tertentu.

Secara dasarnya, Malaysia, sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep federalisme, menetapkan pembahagian kuasa perundangan dan eksekutif antara Parlimen/Kerajaan Persekutuan dan Badan Perundangan Negeri/Kerajaan Negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang utama di negara ini.

Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan batasan kuasa perundangan bagi Parlimen iaitu badan perundangan di peringkat Persekutuan dan Badan Perundangan Negeri berdasarkan Senarai Perundangan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Senarai Persekutuan (Senarai I) mengandungi perkara di bawah kuasa perundangan Parlimen dan Senarai Negeri (Senarai II) menyenaraikan perkara di bawah kuasa perundangan Badan Perundangan sesuatu Negeri. Senarai Bersama (Senarai III) mengandungi perkara di bawah kuasa perundangan kedua-dua badan perundangan.

Butiran 4 Senarai Persekutuan memperuntukkan antara lain undang-undang dan tatacara jenayah dan pentadbiran keadilan adalah di bawah kuasa perundangan Parlimen. Berkaitan jenayah syariah pula, Butiran 1 Senarai Negeri memperuntukkan kuasa perundangan Badan Perundangan sesuatu Negeri antara lain adalah berkaitan pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan. Klausa pengecualian ini berfungsi sebagai batasan yang dikenakan oleh Perlembagaan Persekutuan terhadap Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang berkenaan dengan undang-undang jenayah Syariah (kes Iki Putra Bin Mubarrak v. Kerajaan Negeri Selangor [2021] 2 MLJ 323).

Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina ini menunjukkan usaha bersepadu pelbagai pihak berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri untuk meneliti penyelesaian yang holistik terhadap isu ini adalah perlu. Di samping itu, adalah penting untuk memperhalusi keperluan pindaan berkaitan dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan agar kuasa Badan Perundangan Negeri dalam perkara berkaitan undang-undang jenayah syariah menjadi lebih jelas dan tidak wujud kelompangan.

Ini dapat menutup ruang cabaran undang-undang dibuat oleh mana-mana pihak terhadap kompetensi Badan Perundangan Negeri dalam menggubal undang-undang jenayah Syariah sekaligus memperkukuhkan undang-undang jenayah Syariah di Malaysia dan perlaksanaannya selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Dr. Intan Nadia Ghulam Khan
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia