Mayat Ganesh Rana ditemukan mati lemas di Pantai Sepat oleh orang awam pada 8.30 pagi tadi selepas dilaporkan terjatuh pada Isnin lalu

KUANTAN –  Seorang lelaki warga Nepal yang terjatuh daripada kawasan berbatu di Teluk Tongkang, di sini, pada Isnin lalu ditemtukan lemas di Pantai Sepat pada hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 8.30 pagi tadi pada jarak kira-kira 15 kilometer daripada lokasi beliau dilaporkan terjatuh.

Mangsa dikenali sebagai Ganesh Rana, 22, merupakan pekerja di sebuah kilang di sini ditemukan oleh orang awam terdampar di pantai.

”Operasi pencarian mangsa dimulakan pada Isnin jam 7 malam selepas dilaporkan hilang dan berjaya ditemui pada hari ketiga misi pencarian.

”Hasil maklumat awam yang diterima sepasukan anggota polis telah ke lokasi penemuan dan mengesahkan mangsa adalah mangsa yang lemas di Teluk Tongkang,” katanya menerusi kenyataan.

Mangsa dikatakan pergi ke Teluk Tongkang bersama beberapa rakannya sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina pada Isnin.

Difahamkan ketika kejadian mereka duduk di kawasan berbatu dan mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ketika sedang membuat panggilan video bersama kakaknya kira-kira jam 4.30 petang.

Rakan mangsa cuba menyelamatkannya dengan mencapai bajunya, namun gagal kerana dibawa arus kuat.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi menjalani proses bedah siasat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast