Anwar Ibrahim disambut ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang akan berlangsung pada akhir bulan ini berkonsep lebih inklusif dengan jemputan penyertaan masyarakat Cina dan India, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, walaupun kongres itu memberikan tumpuan kepada masalah dihadapi Bumiputera namun kerajaan mengambil sikap terbuka dalam menangani beberapa isu bersama.

Pada masa sama, beliau menegaskan kongres itu tidak akan mempertahankan masalah salah guna atau tumpuan kepada mengkayakan kroni atau keluarga tertentu, sebaliknya mesti ada kesediaan untuk mengemukakan cadangan baharu.

“Kedua, pendekatan kita dalam hal Kongres Ekonomi Bumiputera lebih inklusif. Maknanya kita mahu penyertaan daripada rakan-rakan kita masyarakat Cina dan India.

“Saya harap ACCIM (Gabungan Dewan Perniagaan dan Dewan Perindustrian Cina Malaysia) bersedia berbincang kerana pendekatan kita inklusif.

“Maknanya dalam membicarakan ekonomi bumiputera, ada isu-isu SME (Perusahaan Kecil dan Sederhana) atau kelompok India miskin akan kita tangani bersama, jadi pendekatan agak berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dijangka berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kongres berkenaan menumpukan kepada 10 kluster yang masing-masing diketuai pakar.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendekatan terhadap sekolah daif, pembasmian kemiskinan tegar yang dilakukan sebelum ini tidak berasaskan kaum tertentu semata-mata.

Menurut beliau, hampir 100 peratus isu kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan diselesaikan dan kerajaan tidak mempersoalkan keluarga dibantu itu sama ada mereka Melayu, Cina atau India.

“Jangan ada isu racial profiling (membezakan kaum) sama ada keluarga Melayu, Cina dan India.

“Begitu juga kalau kita bercakap peluang perniagaan terutama peniaga kecil bumiputera, peluang bagi orang India. Atau pemain-pemain kecil masyarakat Cina…tempat perniagaan, gerai mereka, itu kita harus tumpu sebagai program dan agenda Nasional.

“Sebab itu saya hendak supaya penyertaan dalam kongres ini bukan sahaja daripada bumiputera tetapi daripada syarikat-syarikat cina.

“Minggu depan saya akan undang pemimpin pemimpin daripada dewan perniagaan Melayu, Cina serta India untuk bersama memberi pandangan dan input supaya kongres ini tidak dianggap eksklusif.

“Ia masih menekankan teras tentang masalah dihadapi oleh orang Melayu bumiputera, tetapi pendekatan kita selaras dengan dasar negara Madani…harus lebih inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bagilah semua harta benda bumiputra pada semua orang, pernah ke kongres bangsa lain jemput bumiputra join sekali untuk berbincang maju bersama-sama.

Comments are closed.