Muhyiddin Yassin. Foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan hari ini memohon Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan perbicaraan tiga pertuduhan penggubahan wang haram (AMLA) yang dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Permohonan itu dilakukan selepas pasukan pendawaan mengemukakan rayuan di Mahlamah Rayuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri itu daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapat suapan berjumlah RM232.5 juta daripada projek Jana Wibawa yang belum diputuskan.

Sehubungan dengan  itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan permohonan pasukan pendakwaan menggantung prosiding sehingga kes rayuan itu selesai.

“Setelah meneliti setiap hujahan, mahkamah ini mendapati adalah wajar untuk kes digantung di sini (Mahkamah Sesyen) sehingga keputusan kehakiman diperolehi bagi keadilan semua pihak,” katanya.

Beliau juga menetapkan sebutan kes pada 4 Mac ini bagi status kes rayuan tersebut.

Pada 10 Mac 2023, Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan itu dan dua pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022.

Beliau kemudian didakwa lagi pada 13 Mac tahun sama dengan satu tuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, iaitu selaku Presiden Bersatu menerima hasil aktiviti wang haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.

Namun pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan selepas membenarkan permohonan untuk membatalkan kesemua pertuduhan tersebut namun pendakwaan telah memfailkan rayuan.

Muhyiddin kemudian memohon Mahkamah Sesyen supaya dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada baki tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette