Chang Lih Kang

PUTRAJAYA – Malaysia sedang bersaing dengan masa untuk memperjuangkan pembinaan tapak pelancaran roket yang pertama di Asia Tenggara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, memandangkan negara jiran iaitu Indonesia juga mempunyai rancangan serupa, maka Malaysia perlu mempercepatkan rentak dan berusaha untuk merealisasikan tapak tersebut.

“Indonesia sedang merancang dan belum ada apa-apa ketetapan lagi pada masa ini.

“Tetapi jika Indonesia sudah membuatnya terlebih dahulu, maka Malaysia mungkin tidak sesuai melakukan projek yang sama.

“Keadaan ini berlaku kerana rantau ini mungkin tidak memerlukan sehingga dua tapak pelancaran roket,” katanya seperti dipetik Nanyang Siang Pau.

Lih Kang berkata, Malaysia memiliki kelebihan untuk membina tapak pelancaran roket kerana tidak terletak pada garis gempa bumi, tidak mempunyai gunung berapi, mempunyai tahap teknologi yang tinggi dan mempunyai industri elektronik dan elektrik yang matang.

“Semakin banyak industri termasuk automobil, telekomunikasi dan jam perlu melancarkan satelit. Tambahan pula, setiap satelit hanya mempunyai jangka hayat tujuh hingga lapan tahun.

“Keadaan ini menyebabkan pelancaran roket menjadi satu bidang yang mempunyai permintaan yang semakin tinggi,” katanya.

Lih Kang berkata, walaupun seakan-akan berlaku persaingan, tetapi Malaysia masih boleh membina tapak pelancaran sendiri jika Indonesia melakukan projek serupa lebih awal.

“Selagi pelabur berpendapat ia boleh dilakukan, maka ia adalah mungkin.

“Projek tapak pelancaran roket merupakan inisiatif swasta manakala kerajaan hanya menyelaras termasuk membantu pembangunan dan pembinaan,” katanya.

Menurutnya, tapak pelancaran roket di Malaysia boleh dimulakan kerja pembinaannya seawal 2026. – MalaysiaGazette