BANGI – Pelajar-pelajar politeknik diminta supaya melontar jauh stigma kononnya mengikuti pengajian di institusi pengajian itu sebagai golongan kelas ketiga.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, politeknik adalah sebuah institusi yang penting dalam negara ketika ini.
Katanya, graduan politenik dan kolej komuniti tidak perlu merasai institusi pendidikan berkenaan sebagai institusi yang kurang ideal.
“Kita sering kali mendengar bahawa mereka yang keluar dari politeknik dan kolej komuniti adalah mereka yang terdiri daripada gred tiga.
“Sebenarnya salah tanggapan itu, saya adalah antara orang yang menjadi promoter atau penggalak yang menggalakkan sistem pendidikan yang mempunyai kemahiran dan skil dan satu lagi dalam bidang universiti yang pandai belajar ke universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Gemilang Pelajar POLYCC 2023, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail.
Menurut Zambry, mereka yang belajar di politeknik dan kolej komuniti mempunyai kepandaian dan kebijaksanaan tersendiri.
Katanya, mereka perlu memaklumkan kapada masyarakat bahawa setiap di antara manusia mempunyai kemahiran yang tidak ada pada orang lain.
Berikutan itu, tambah beliau, kerajaan ketika ini memberi tumpuan terhadap bidang-bidang kemahiran tertentu seperti di politeknik dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Langkah itu, katanya, bagi memberi tumpuan dan fokus agar bidang berkenaan tidak dipinggirkan dalam arus pendidikan negara. – MalaysiaGazette