Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bercakap kepada media selepas Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau Bertaraf 5 Bintang (BMW) Bersih, Menawan dan Wangi ketika di Masjid Mahmoodiah, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 FEBRUARI 2024.

PUTRAJAYA – Orang ramai terutama pempengaruh media sosial diminta berhati-hati ketika mengulas isu penghakiman Mahkamah Persekutuan bagi mengelak keresahan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, isu pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 itu bukan perkara kecil dan ia perlu didasari fakta yang tepat.

Menurutnya, perkara itu penting bagi mengelak sebarang tindakan daripada pihak berkuasa kerana menghina mahkamah.

“Saya dapati ada yang buat video parodi berhubung isu itu dan kemudian kata tak betul, lepas itu tarik balik.

“Selepas sedar ada laporan polis dibuat baru tahu benda (video parodi) itu tak betul. Ini akan menimbulkan keresahan kepada rakyat.

“Apabila kita nak bercakap sesuatu, mestilah didasarkan kepada fakta bukan nak dapatkan populariti yang akhirnya menjerat diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada mesdia selepas melancarkan Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau 5 Bintang peringkat Wilayah Persekutuan, di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, hari ini.

Sebelum ini, seorang pempengaruh media sosial, Dd Chronicle atau Dediy Sulaeman Ra’e, 43, didakwa mempersendakan agama dan menghina mahkamah selepas memuat naik satu video parodi mengenai isu itu.

Video berdurasi tiga minit 55 saat itu memaparkan tindakan pempengaruh itu melakonkan semula perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.

Ia kemudian mendapat reaksi warganet dengan rata-rata meminta supaya pihak berkuasa mengenakan tindakan terhadap lelaki tersebut kerana sudah melampaui batas.

Susulan itu, Dediy tampil memohon maaf terhadap perbuatannya dan menjelaskan tindakan tersebut tidak mempunyai niat untuk menghasut mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Pemuda Amanah dan telah membuat 30 laporan polis di seluruh negara sejak semalam bagi meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid dilaporkan berkata, video parodi itu jelas mengelirukan, memesongkan fakta dan berniat mempersendakan proses penghakiman yang dilakukan oleh badan perundangan negara.

Difahamkan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga akan membuat laporan polis secara serentak terhadap Dd Chronicle di seluruh Malaysia pada pada pukul 3.30 petang ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast