“Bagaimanapun, perbelanjaan isi rumah kekal disokong oleh keadaan pasaran buruh yang bertambah baik dan mengurangkan tekanan kos.”Kadar pengangguran menurun kepada paras sebelum pandemik sebanyak 3.3 peratus manakala kadar penyertaan tenaga buruh berada pada paras tertinggi dalam sejarah pada 2023,” katanya di laman webnya hari ini.
BNM berkata, prestasi ekonomi Malaysia adalah seiring dengan negara ASEAN lain yang menunjukkan pertumbuhan sederhana pada 2023 dengan Singapura mencatat pertumbuhan 1.1 peratus, Indonesia (5.1 peratus) dan Filipina (5.6 peratus).
Negara maju lain turut mencatatkan pertumbuhan sederhana seperti Korea Selatan (1.4 peratus) dan United Kingdom (UK) (0.1 peratus).
Bagaimanapun, ekonomi China terus berkembang pada 5.2 peratus dan Amerika Syarikat (AS) meningkat 2.5 peratus pada 2023.
BNM berkata, pemulihan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran buruh menyokong pertumbuhan pada 2023, selepas sokongan dasar berskala besar kepada ekonomi berakhir pada 2022.
“Di samping itu, prestasi pertumbuhan ekonomi yang teguh diperkukuh oleh kedudukan luaran yang berdaya tahan. Walaupun persekitaran luaran yang mencabar, lebihan akaun semasa bagi 2023 kekal pada 1.2 peratus daripada KDNK, disokong oleh struktur eksport yang pelbagai merentas pasaran dan produk.
“Kekuatan dalam kedudukan luaran juga dicerminkan dalam hutang luar negeri yang merosot kepada 68.2 peratus daripada KDNK pada 2023 dan kedudukan pelaburan asing bersih yang lebih tinggi pada 6.6 peratus daripada KDNK.
“Apa yang penting, hutang luar negeri kekal terurus memandangkan kematangan dan profil mata wang yang menggalakkan. Satu pertiga daripada hutang luar negeri adalah dalam denominasi ringgit, sekali gus mengehadkan risiko mata wang, manakala kira-kira 70 peratus daripada hutang mempunyai tempoh jangka sederhana dan panjang,” katanya.
Bagi pertumbuhan pada tahun 2024, BNM berkata, aa akan didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan permintaan luaran yang bertambah baik.
Katanya, dari segi faktor luaran, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)Â mengunjurkan pertumbuhan perdagangan global kembali meningkat daripada 0.4 peratus pada tahun 2023 kepada 3.3 peratus pada tahun 2024.
“Bersama-sama dengan peningkatan kitaran teknologi, permintaan luaran yang lebih kukuh dan sektor pelancongan yang terus bertambah baik akan memberikan sokongan kepada eksport Malaysia.
“Di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan lanjut projek jangka masa panjang oleh sektor swasta dan awam serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelbagai pelan induk nasional.
“Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.
“Bagaimanapun, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu,” kata BNM.
Tambah pusat itu lagi, inflasi keseluruhan dan inflasi teras telah menurun disebabkan terutamanya oleh tekanan kos yang lebih rendah berikutan keadaan permintaan yang semakin stabil.
“Pada tahun 2024, inflasi dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan kos dan permintaan yang stabil. Walaubagaimanapun, prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
“BNM akan menerbitkan Laporan Tahunan 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Kedua 2023 pada 20 Mac 2024,” katanya. – MalaysiaGazette