Foto: AFC Asian Cup

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) mengambil keputusan drastik apabila memecat ketua jurulatih pasukan, Jurgen Klinsmann selepas gagal di temasya Piala Asia 2023 Qatar.

Perkembangan terkini itu diumumkan oleh Presiden KFA, Chung Mong-gyu yang memberi alasan Klinsman gagal untuk memenuhi sasaran yang diletakkan sebelum pasukan beraksi di Piala Asia.

Menerusi laman media sosial miliknya, pengendali dari Jerman itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan terhadapnya sepanjang bergelar ketua jurulatih.

Sebelum ini, Jurgen Klinsmann menyalahkan pemain selepas pasukan itu gagal dalam usaha mereka memenangi temasya Piala Asia 2023.

Menurut perkongsian wartawan tempatan, Klinsmann berkata, suasana tidak harmoni di kalangan pemainnya sebelum aksi separuh akhir menentang Jordan yang mana perlawanan tersebut menyaksikan pasukan itu tewas dengan keputusan 2-0.

“Klinsmann menyalahkan pemain yang tidak harmoni selepas tewas kepada Jordan, bukannya tidak bersedia dari segi taktikal.

“Menurut Pengarah Teknikal Korea FA (KFA), Hwangbo Kwan menegaskan Klinsmann menafikan ada kekurangan dari segi teknikal,” kata Jeeho Yoo.

Sebelum ini, KFA dalam satu kenyataan di media mengesahkan kapten pasukan, Son Heung-Min cedera di jarinya kerana bergaduh dengan rakan sepasukan sebelum aksi separuh akhir.

Menurut laporan Korean Football News, terdapat konflik berlaku antara Son Heung-Min dengan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Lee Kang In apabila kedua-dua pemain itu terlibat dalam pergaduhan kecil.

Difahamkan, beberapa pemain skuad Korea Selatan termasuk Kang-In tergesa-gesa menghabiskan makanan mereka kerana mahu bermain ping pong.

Bagaimanapun, Heung-min selaku ketua pasukan tidak berpuas hati dengan tindakan mereka membuat bising sehingga menganggu pemain lain sedang makan.

Bintang Tottenham Hotspurs itu cuba nasihatkan mereka tetapi tidak diendahkan namun Heung-min naik angin dan bertindak memegang kolar baju Kang-in yang sempat menghayun penumbuknya.

Namun, Heung-min berjaya mengelak penumbuk Lee tetapi jarinya terseliuh manakala pemain lain cuba menghalang kedua-dua pemain itu.

Pendedahan itu turut mengejutkan peminat bola sepak Asia di media sosial dan mengundang pelbagai kritikan dalam kalangan penyokong Korea Selatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast