Antaran serpihan bangkai pesawat ringan BK160 Gabriel di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang. Foto WAN NABIL NASIR, 14 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Laporan awal siasatan teknikal kemalangan udara pesawat Gabriel BK160TR yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Selangor pada Selasa lalu akan siap dalam tempoh 30 hari.

Manakala, laporan penuh dijangka siap selewat-lewatnya 12 bulan daripada insiden tersebut.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan, siasatan tersebut mendapati ketika kemalangan pesawat dengan pendaftaran I-POOC mempunyai pensijilan kelayakan terbang (airworthiness certification) yang sah di bawah European Union Aviation Safety Agency (EASA).

“Penyiasatan akan diteruskan untuk hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan juga mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan.

Siasatan teknikal yang dilakukan pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13).

Katanya, pesawat yang memiliki tanda pendaftaran I-POOC itu milik Blackshape S.p.A yang merupakan sebuah syarikat Itali.

Jelasnya, juruterbang yang terlibat kemalangan itu dilantik oleh sebuah syarikat Singapura iaitu Aviation Safety Technology Pte Ltd (AST) untuk perkhidmatan pemasaran bagi pesawat Gabriel BK160TR.

“Sky Media Ltd yang merupakan sebuah syarikat Hong Kong pula bertindak sebagai pengedar pesawat bagi pihak Blackshape S.p.A untuk rantau Asia Tenggara,” katanya.

Pada Selasa lalu, pesawat BK 160 Gabriel itu terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar pada 1.45 tengah hari mengorbankan dua nyawa iaitu juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 43,

Kedua-dua mangsa dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat di kawasan ladang kelapa sawit.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi.-MalaysiaGazette