Datuk Azman Adam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeriksa 6,186 premis perniagaan di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2024.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata, pemeriksaan itu melibatkan 118 pemeriksaan ke atas premis borong dan pengeluar serta 6,068 pemeriksaan terhadap premis runcit.

“Pelaksanaan skim ini merupakan langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup semasa sambutan Tahun Baru Cina.

“Tindakan undang-undang yang dikenakan melibatkan 43 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan satu kes tiada tanda harga.

“Tiada kesalahan menjual melebihi harga maksimum dikesan sepanjang pelaksanaan skim ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak KPDN tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024.

Tambah beliau, majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuatkuasa sepanjang pelaksanaan skim berkenaan.

Sementara itu, katanya, sebanyak 11 jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimumnya telah diwartakan bagi pelaksanaan skim tersebut sempena perayaan Tahun Baru Cina.

“Pelaksanaan skim bagi tahun ini bermula 6 Februari hingga 14 Februari 2024, selama 9 hari iaitu pada 4 hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan.

“Kementerian ingin merakamkan penghargaan kepada pihak industri dan keseluruhan peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan skim ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette