KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menyasarkan purata penggunaan harian sehingga 200,000 menjelang penghujung 2024 berbanding 155,000 sepanjang penutupan Stesen LRT Masjid Jamek dan Bandaraya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dengan pembukaan semula dua stesen itu, kekerapan tren pada waktu puncak kembali normal.
“Masa menunggu tiga minit bagi Daerah Pusat Perniagaan (CBD) dan enam minit di luar Daerah Pusat Perniagaan (non-CBD) dengan pengoperasian 37 buah tren.
“Laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya telah ditutup semenjak 27 Januari 2023 atas faktor keselamatan akibat kerosakan struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini
Terdahulu beliau membuat tinjauan melihat tiga tiang landasan LRT berdekatan Stesen Bandaraya yang terjejas teruk hingga penutupan laluan itu sejak setahun lalu.
Menurutnya, kerja-kerja membaik pulih kerosakan telah dimulakan pada 17 Mac 2023 melibatkan dua fasa merangkumi kerja-kerja menyokong jejambat di P163, P164 dan P165 serta mengembalikan struktur jejambat ke kedudukan asal.
“Proses membaik pulih telah selesai sepenuhnya pada 30 Disember 2023 dan
pemeriksaan serta pengesahan telah dilakukan oleh pihak jurutera perunding.
“Sebagai mematuhi piawaian operasi, beberapa siri ujian dan pemantauan menyeluruh telah dilaksanakan bermula 1 Januari 2024 hingga 16 Februari 2024,” katanya.
Katanya lagi, pembukaan semula laluan tersebut dibuat setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan penilaian dan pemeriksaan yang dijalankan.
“Dengan pembukaan semula laluan ini, diharapkan pergerakan penumpang dipermudahkan, jumlah penumpang dapat dipertingkatkan dan aktiviti ekonomi di sekitar laluan yang tersebut akan kembali rancak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette