Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Puchong, Selangor. Foto NUR SYADILA AMARI, 30 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Taklimat media Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengenai Beras Putih Malaysia Madani yang dijadual berlangsung esok ditunda ke tarikh lain.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Bukit Gantang Mohd. Faize Abdul Halim kepada Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Mohd Sukari Ab. Hamid.

“Adalah dimaklumkan taklimat media oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 18.02.2024 terpaksa ditunda ke suatu masa yang akan diberitahu kelak,” katanya.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan, Syed Abu Hussin dijadual membuat penjelasan mengenai Beras Putih Malaysia Madani pada pukul 10 pagi esok.

Ahli Parlimen Ahli Parlimen Bukit Gantang itu membuat jemputan kepada media melalui sebaran poster.

“Jemputan taklimat media. Penjelasan dan penerangan mengenai isu beras putih Malaysia Madani,” katanya dalam poster tersebut.

Pada 14 Januari lalu Syed Abu Hussin mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit.

Bagaimanapun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan mewujukan satu gred Beras Putih Malaysia Madani.

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat NACCOL yang dijadual minggu depan.-MalaysiaGazette