Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penggunaan peranti elektronik atau vape bukan sahaja perlu kawalan kerajaan bahkan penjualannya secara terbuka dalam pasaran perlu dihalang terus di negara ini.

Pengerusi Biro Kesihatan, Keluarga dan Alam Sekitar Armada Nasional, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, pengguna dan penjualan vape perlu dihalang sepenuhnya kerana didakwa didalangi syarikat pengeluar rokok

“Sebagai seorang pengamal perubatan profesional, saya tetap dengan pendirian, penggunaan vape perlu dihalang secara sepenuhnya dan bukan setakat kawalan kandungan vape.

“Menurut laporan agensi Reuters pada Disember 2023, syarikat tembakau sedang mengubah fokus mereka daripada rokok tradisional kepada alat peranti merokok seperti vape.

“Oleh itu, tiada sebab kita perlu mengawal kandungan vape, sebaliknya ia perlu dihapuskan secara total dari negara kita,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Mohd Aleef Yusof

Selasa lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mendesak kerajaan memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia kandungan vape.

Wan Saiful berkata, ketika ini, tiada sebarang peraturan yang dikenakan bagi kawalan bahan yang terkandung dalam peranti elektronik terbabit.

Beliau berkata, Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk memperkenalkan peraturan kandungan vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Dalam pada itu, Dr Mohd Aleef yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang mengingatkan kerajaan telah gagal dalam membendung vape daripada membanjiri pasaran domestik di negara ini.

“Ini setelah kerajaan membuang peruntukan kawalan vape di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

“Ini juga cubaan menormalisasikan vape yang sedang giat dijalankan oleh peon-peon syarikat tembakau.

“Malah negara terpaksa membelanjakan RM 6.2 billion untuk rawatan penyakit berkaitan rokok pada 2022 dan dijangka meningkat 10 kali menjelang 2030,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast