NEW DELHI – Pengawal selia penerbangan awam India, (DGCA), mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Air India selepas kematian seorang lelaki berusia lebih 80 tahun yang terpaksa berjalan kerana kekurangan kerusi roda.
Menurut media tempatan, lelaki tua itu rebah dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan bantuan perubatan tetapi meninggal dunia dalam perjalanan.
Mangsa tidak diberi kerusi roda oleh kakitangan lapangan terbang kerana kekurangan kemudahan itu.
Hanya isteri si mati sahaja diberikan kerusi roda.
Air India kemudiannya mengeluarkan kenyataan berkata, kejadian itu berlaku semasa permintaan tinggi untuk kerusi roda dan pihaknya telah meminta si mati menunggu sebentar.
Bagaimanapun si mati memilih untuk berjalan bersama pasangannya.
DGCA juga mengeluarkan arahan meminta semua syarikat penerbangan swasta negara ini untuk meletakkan bilangan kerusi roda yang mencukupi untuk penumpang yang memerlukannya. – Agensi