KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu takut dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Pulau Batu Puteh jika merasakan dirinya tidak bersalah.
Menurut satu hantaran di Facebook Datuk Seri Najib Razak, pengendali laman sosial itu berkata, Dr Mahathir perlu bertanggungjawab di atas “kehilangan” Pulau Batu Puteh.
“Kenapa Tun M tolak keputusan kerajaan, tolak titah Sultan dan kini mahu tolak RCI yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong? Apa yang sangat ditakuti jika tak buat salah?
“Dulu Tun M asyik fitnah Najib jual negara tetapi satu pulau kehilangan setelah dia menjadi perdana menteri selepas PRU14.
“Keputusan melepaskan tangan bagi tuntutan Pulau Batu Puteh dibuat kamu selepas PRU14 maka kamu perlu bertanggung jawab untuk menjelaskan keputusan itu.
“Sekurang-kurangnya, Tun M patut lebih bertanggung jawab dengan memberi kerjasama sepenuhnya supaya rakyat faham kenapa negara telah kehilangan tanah di lokasi sangat strategik yang memberi implikasi jangka masa panjang kepada kedaulatan negara,” katanya.
Pada 14 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan penubuhan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, berkuat-kuasa serta merta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Menurut kenyataan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bersama dengan Ketua Pengarah BHEUU JPM, Zamri Misman hari ini menghadap dan menyembah maklum Sultan Ibrahim mengenai cadangan kerajaan mengenai penubuhan RCI berkenaan.
“Seri Paduka Baginda juga memperkenankan pelantikan tujuh ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali sebagai Timbalan Pengerusi,” kata BHEUU.
Mengulas lanjut, pengendali Facebook Najib berkata, sekiranya RCI turut ditolak Mahathir siapa lagi di dunia ini yang mampu meminta agar bekas ahli Parlimen Langkawi itu membuka mulut emas berkenaan isu Pulau Batu Puteh.
“Dia boikot siasatan Pasukan Petugas Khas kerajaan berkenaan Pulau Batu Puteh sebab bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali menjadi Pengerusi.
“Dia tolak titah Sultan Johor berkenaan Pulau Batu Puteh sebab dia kata Tuanku hanya Sultan dan bukan Hakim.
“Kini dia mahu boikot RCI berkenaan Pulau Batu Puteh sebab dia protes bekas hakim negara, Tun Md Raus Sharif dilantik sebagai pengerusi,” kata hantaran itu.- MalaysiaGazette