Gambar hiasan

SEREMBAN – Lebih 800 warga asing diperiksa di sekitar pusat bandar di sini menerusi operasi bersepadu polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada 4.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Mohamad Hatta Che Din berkata, serbuan hampir tiga jam itu dilakukan di lorong bangunan dan premis kosong yang merupakan kawasan tumpuan warga asing berkumpul terutamanya pada hujung minggu.

Beliau berkata, 835 lelaki dan 79 wanita warga asing diperiksa kebanyakannya warga Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Indonesia.

“Polis turut menahan beberapa individu didapati menghalang penjawat awam melakukan pemeriksaan, ada dalam kalangan warga asing ini diserahkan kepada imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di Jalan Dato Sheikh Ahmad di sini hari ini.

Mohamad Hatta berkata, risikan di kawasan terbabit telah dilakukan tiga minggu sebelum operasi dijalankan bagi mengesan kawasan tumpuan warga asing tersebut.

Sementara itu Pengarah Undang-undang dan Penguatkuasaan MBS, Hanizam Ahmad berkata, 13 kompaun dikeluarkan terhadap pemilik premis perniagaan terutamanya restoran dan kedai runcit.

Beliau berkata, antara kesalahan itu ialah jumlah pekerja warga asing melebihi syarat ditetapkan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast