Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)

KUALA LUMPUR – Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) kecewa dengan tindakan atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang menyalahkan media sebagai punca kepada kemelut yang sedang melanda dalam kem terjun negara ketika ini.

Presiden SAM, Norismadi Abd Manap berkata, Pandelela tidak boleh menyalahkan media susulan prestasi kem terjun di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Tegasnya, media sukan adalah profesional dalam menjalankan tugas dan menyampaikan laporan sama ada cetak, elektronik mahupun portal dalam talian.

“Laporan dibuat berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan dan segala sesi direkodkan sebagai rujukan dalam penulisan. Justeru, adalah tidak adil untuk menunding jari terhadap media secara melulu.

“Media tidak pernah menafikan sumbangan yang telah diberikan oleh Datuk Pandelela namun untuk menyalahkan media adalah tindakan yang tidak wajar,” kata Norismadi dalam satu kenyataan.

Terdahulu, menerusi hantaran di laman sosialnya, Pandelela berpendapat, media telah memutar belit kenyataan yang dikeluarkan ketika sesi temuramah selepas pasukan terjun kembali dari Doha.

Mengulas lanjut, Norismadi berkata, SAM sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak dalam arena sukan Malaysia.

Katanya, jika ada salah faham yang memerlukan penjelasan bagi mengelakkan kekeruhan berpanjangan.

“Penggunaan media sosial sebagai platform untuk meluahkan pandangan atau kekecewaan tanpa berbincang atau mendapatkan penjelasan daripada pihak media terbabit mahupun SAM adalah tidak menggambarkan diri anda sebagai atlet profesional.” ujarnya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Isu entiti: Pandelela dakwa media salah tafsir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast