Teo Beng Tuan, 71, menunjukkan gambar baju lelakinya yang koyak rabak setelah diserang sekumpulan 30 individu di Jalan KB 16, Kampung Baru Dengkil, Sepang, Sabtu lalu.

SEPANG – Susulan pergaduhan selepas dicemuh kerana kereta diparkir menghalang kenderaan lain di Kampung Baru Dengkil, seramai 14 individu ditahan polis, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof yang mengesahkan insiden tersebut berkata, kejadian itu dipercayai membabitkan jiran di situ.

“Seramai 14 individu berusia antara 16 hingga 40 tahun ditahan di lokap semalaman bagi melengkapkan siasatan dan dijangka dibebaskan hari ini dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, sebuah keluarga berang apabila dicemuh dengan berkata, “parkir kereta tengah jalan macam ini tak ada otak ke” sebelum memukul seorang lelaki di Kampung Baru Dengkil, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 10.15 malam, mangsa berusia 44 tahun berada di rumah di situ sebelum didatangi 30 individu termasuk ahli keluarga kepada pemilik kereta dalam keadaan marah, kemudian memukulnya.

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 148/506 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Gaduh kerana dicemuh parkir hingga halang kereta lain