ISTANBUL – Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki pada Isnin menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menamatkan pendudukan Israel dan menganggapnya sebagai “tidak sah.”
“Kami menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel sebagai haram, selain menekankan mengenai pentingnya pencerobohan itu ditamatkan segera tanpa syarat,” kata al-Maliki semasa sesi pendengaran di ICJ, lapor Agensi Anadolu.
Pada Isnin, mahkamah memulakan sesi pendengaran awam mengenai kesan undang-undang yang timbul akibat daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
“Sudah tiba masanya untuk menamatkan dwistandard dan menguatkuasakan undang-undang antarabangsa ke atas semua negara tanpa pengecualian,” katanya.
Menteri itu berkata: “Israel telah menyebabkan rakyat Palestin hanya mempunyai tiga pilihan: sama ada berpindah, bertahan atau mati.”
Al-Maliki berkata: “Palestin kekal sebagai ujian terbesar terhadap kredibiliti sistem undang-undang antarabangsa dan manusia tidak dapat menanggung akibat daripada kegagalannya.”
Sesi itu akan berlangsung sehingga 26 Feb dan mahkamah dijadualkan mendengar pembentangan 52 negara, jumlah yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah mahkamah, selain Kesatuan Afrika, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Negara Arab. – BERNAMA-AGENSI ANADOLU