Pihak JIM Pulau Pinang sedang melakukan pemeriksaan ke atas warga asing di sebuah kilang pakaian di Bukit Mertajam, hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Seramai 12 pekerja warga asing yang tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah kilang menjahit pakaian di Alma di sini hari ini.

Serbuan Ops Mahir bermula 10.30 pagi itu membabitkan pemeriksaan ke atas 130 pekerja iaitu 61 lelaki dan 69 wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 78 warga Myanmar, Bangladesh (27), Nepal (18), Indonesia (enam) dan seorang warga China.

Nur Zulfa.

“Daripada pemeriksaan itu, seramai 12 individu iaitu lima lelaki dan tujuh wanita ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Kita harap majikan memastikan semua pekerja mempunyai pas yang sah bagi mengelak dikenakan tindakan seperti ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya dekat sini untuk proses dokumentasi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette