KUALA LUMPUR – Menjadikan warga emas sebagai mangsa penipuan, satu sindiket pelaburan dikesan mengaut keuntungan lebih RM10.08 juta sejak beberapa tahun lepas.
Menggunakan syarikat berdaftar dan terkemuka adalah modus operandi sindiket tersebut yang menipu seramai 93 individu setakat ini.
Mendedahkan perkara itu, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya telah didekati mangsa penipuan pelaburan saham yang ditawarkan oleh dua syarikat berdaftar.
Jelas beliau, modus operandi syarikat berkenaan ialah menggunakan sistem e-wallet dan menawarkan pembelian unit saham melalui mata wang kripto.
“Mereka sengaja menyasarkan golongan warga emas, pelbagai tawaran menarik ditawarkan selain menggunakan syarikat terkemuka kononnya berdaftar di Amerika Syarikat (AS) bagi mengaburi mata mangsa.
“Individu yang berminat perlu menandatangani perjanjian untuk tempoh beberapa tahun sebelum memperoleh pulangan hasil pelaburan.
“Lebih teruk lagi, pelabur diberikan surat perjanjian dalam bahasa Inggeris dengan jumlah muka surat yang tebal dan banyak sehingga sukar difahami mangsa,” katanya.
Hishamuddin berkata demikian selepas menyerahkan surat perkembangan semasa di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah dan Represntasi Perundangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ di sini hari ini.
Difahamkan juga, selepas tempoh perjanjian tamat pada 2019, mangsa sehingga kini tidak mendapat sebarang pulangan hasil wang yang dilabur.
MHO juga telah melakukan siasatan dalaman mereka dan mendapati syarikat konon berdaftar di AS itu sebenarnya mempunyai pejabat di Selangor.
“Malah semakan kita dapati profil menunjukkan ejen pemasaran dan syarikat yang menawarkan pelaburan itu turut mempunyai alamat sama. Mangsa sudah banyak kali turun naik ke syarikat berkenaan namun langsung tidak dilayan.
“Kerana tidak tahu apa yang hendak dilakukan lagi kerana pelbagai usaha dilakukan untuk dapatkan kembali wang pelaburan namun tidak berjaya, mereka beramai-ramai membuat laporan polis sejak tiga bulan lalu dan ada kes yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atau kes sivil.
“Kami difahamkan ada juga pendakwaan dilakukan tapi hanya lapan saksi, mangsa pula babitkan kumpulan yang ramai, bakinya bagaimana pula? Mengapa hanya lapan saksi pendakwaan, kita juga tidak faham,” ujarnya.
Dalam pada sama, Hishamuddin yakin kes ini adalah perbuatan jenayah penipuan terancang.
“Jika andaian ini tidak benar sepatutnya pengadu dan mangsa sudah lama dapat jawapan pihak berkuasa. Kita perlukan jawapan. Jangan hanya cakap mereka ini mangsa sahaja dan tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan,” tegasnya. -MalaysiaGazette