PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) merampas 644 televisyen atau Android TV bernilai RM700,000 dalam satu operasi di sini pada 1 Februari lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan itu selepas pihaknya menahan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
“Hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut bermuatan Android TV yang memerlukan kelulusan SIRIM Bhd. Nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM500,000 membabitkan 644 unit televisyen.
“Jumlah duti atau cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM200,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM di sini hari ini.
Selain itu, Norlela berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket menggunakan modus operasi dengan membuat ikrar tidak benar barangan di dalam borang pengikraran import.
“Konsaimen tersebut telah diikrar sebagai ‘Marble’ bagi mengelakkan dikesan oleh pihak JKDM. Imbasan imej melalui Mesin Pengimbas JKDM telah menunjukkan imej yang tidak kongruen dengan barangan,” katanya.
Selain Android TV, pihaknya juga merampas 1,990 kipas bernilai RM400,000 selepas menahan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara pada 1 Februari lalu.
“Pengimport telah gagal mengemukakan permit daripada Suruhanjaya Tenaga (ST). Nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM300,000 membabitkan kuantiti sebanyak 1,990 unit kipas siling.
“Jumlah duti atau cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM100,000,” katanya lagi.
Kes barang elektrik sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar.
“Tertuduh juga boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette