Aaron menandatangani plak perasmian program Citra Nusa@Melaka di Bastion House, Banda Hilir, Melaka hari ini.

MELAKA – Kementerian Perpaduan Negara merancang 11 program Citra Nusa di seluruh negara tahun ini untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan cintakan negara dalam kalangan masyarakat.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia termasuklah Festival Hari Muzium Antarabangsa, Citra Nusa@Muzim Arkeologi Lembah Bujang, Persidangan Antarabangsa: Ketamadunan Lembah Bujang dari Perspektif Yi-Jing (I-Thing) Abad ke-7 dan Program Bermalam di Muzium serta Citra Nusa@Indonesia.

“Menerusi program yang memasuki tahun kedua ini, muzium berperanan sebagai guardian of heritage yang mengumpul, memelihara serta melestarikan koleksi sejarah, warisan, seni dan budaya.

“Selain itu, ia juga selain sebagai satu daripada wadah untuk integrasi perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi Walkabout sempena program Citra Nusa@Melaka anjuran bersama oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Institut Seni dan Warisan Melaka di Bastion House, Banda Hilir hari ini.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, Program Bermalam di Muzium merupakan program tradisi JMM yang telah dilaksanakan sejak 2007 yang diteruskan setiap tahun melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara.

“Tahun ini Program Bermalam di Muzium akan melibatkan kumpulan belia sehingga umur 30 tahun dan JMM menyasarkan seramai dua juta pelawat melalui pelbagai program yang diadakan di seluruh negara.

“Program ini diharap dapat memupuk pemahaman dan kesedaran masyarakat terhadap kepelbagaian warisan sejarah dan budaya yang perlu dihargai dan dipertahankan sebagai identiti nasional yang diwarisi bersama,” katanya.

Menurutnya, Program Citra Nusa@Melaka akan berlangsung bermula dari 17 hingga 21 Februari ini dengan pelbagai pengisian aktiviti yang menarik.

Antaranya Pameran Malaysia Tanah Airku: Dulu, Kini dan Masa Depan dan program sisipan berteraskan kebudayaan, kesenian dan warisan masyarakat pelbagai kaum. – MalaysiaGazette