Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin, termasuk Baitul Maqdis Timur, yang akan diadakan di Peace Palace, The Hague, dari 19 hingga 26 Februari 2024.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau yang diiringi oleh pegawai-pegawai Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara, akan menyampaikan Kenyataan Lisan Malaysia pada 22 Februari 2024, jam 5.10 petang waktu tempatan (23 Februari 2024 pada jam 12.10 malam waktu Malaysia).

Permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ini terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah diterima pakai pada 30 Disember 2022. Malaysia telah menyokong dan menaja bersama resolusi berkenaan.

Menurutnya, Pendapat Nasihat ini merupakan prosedur yang berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel yang telah difailkan di ICJ pada 29 Disember 2023.

Permohonan Afrika Selatan telah difailkan atas dakwaan pencabulan Israel di bawah Konvensyen Genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, khususnya yang berlaku sejak 7 Oktober 2023.

Prosedur mendapatkan Pendapat Nasihat ini pula adalah ekoran daripada permohonan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung PBB.

“Pendapat Nasihat merupakan satu proses penting bagi memperolehi nasihat perundangan daripada ICJ, iaitu badan kehakiman PBB, selaras dengan Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.

“Pendapat Nasihat memberi impak perundangan dan tanggungjawab moral yang besar serta menyumbang kepada pemahaman dan pembangunan undang-undang antarabangsa, yang boleh menjadi pemangkin keutuhan hubungan di antara negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad berkata, penyertaan Malaysia secara langsung di sesi pendengaran awam ini merupakan kali kedua dalam prosedur mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ bagi menyokong Palestin.

Pada tahun 2004, Malaysia telah menyertai permohonan mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ mengenai Kesan Perundangan Pembinaan Tembok di dalam Wilayah Pendudukan Palestin, yang mana ICJ telah memutuskan bahawa tindakan Israel adalah bertentangan
dengan undang-undang antarabangsa.

Dalam prosiding Pendapat Nasihat kali ini, Perhimpunan Agung PBB telah mengemukakan beberapa persoalan perundangan bagi ICJ memberikan pendapatnya. Persoalan-persoalan yang diajukan adalah seperti berikut:

i.Kesan perundangan yang timbul akibat pencabulan berterusan oleh Israel terhadap hak rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri (self-determination);

ii.Dasar dan tindakan oleh Israel yang memberi kesan terhadap status perundangan Pendudukan Israel tersebut; dan

iii.Kesan perundangan kepada semua Negara dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hasil Pendudukan tersebut.

Mohamad berkata, Malaysia menyertai prosedur pendapat nasihat ini bagi membantu ICJ meneliti persoalan-persoalan perundangan yang telah dikemukakan oleh Perhimpunan Agung PBB.

Sebelum Sesi Pendengaran Awam ini, Malaysia telah menyertai prosiding bertulis dengan mengemukakan Kenyataan Bertulis kepada ICJ pada 25 Julai
2023.

Kenyataan Bertulis Malaysia menekankan hujahan berkaitan dasar dan tindakan Israel, termasuk pendudukan (occupation) berterusan, aktiviti penempatan (settlement) dan pengilhakan (annexation) di dalam wilayah Palestin, yang mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri.

Kenyataan tersebut juga menegaskan bahawa Pendudukan Israel adalah haram dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Saya akan mendalami aspek hujahan-hujahan ini semasa membentangkan Kenyataan Lisan Malaysia pada 22 Februari 2024.

“Penyertaan dalam prosedur Pendapat Nasihat ini melambangkan usaha bersepadu Malaysia di pelbagai platform antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan PBB, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi menyokong Palestin dan membawa Israel ke muka pengadilan,” tambahnya. – MalaysiaGazette