Abdul Rasheed Ghaffour

KUALA LUMPUR – Kedudukan semasa nilai mata wang ringgit tidak menggambarkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa hadapan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour sebaliknya berkata, prestasi ringgit baru-baru ini, sama seperti mata wang serantau lain yang telah dipengaruhi oleh faktor luaran.

Menurut beliau, beberapa faktor termasuk pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China.

“Pertumbuhan pada 2024 akan didorong oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh.

“Malah Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan perdagangan global meningkat daripada 0.4% pada 2023 kepada 3.3% pada 2024.

“Bagi Malaysia, eksport telah menunjukkan peningkatan yang stabil sejak suku keempat 2023 dan eksport Januari 2024 yang dikeluarkan baru-baru ini juga kembali positif (+8.7%),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rasheed mengulas mengenai kedudukan ringgit yang menyaksikan penurunan sejak kebelakangan ini.

Pagi tadi, soalan itu ditanya kepada Perdana Menteri tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soalan itu akan dijawab oleh Gabenor BNM.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, sektor pelancongan telah pulih dengan kukuh dengan ketibaan pelancong pada 2024 dijangka melebihi paras pra-pandemi sebanyak RM26 juta.

Selain itu, momentum pelaburan telah meningkat dengan pelaksanaan projek yang diluluskan dalam sektor swasta dan awam.

“Mencerminkan perkembangan positif ini dan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan jangkaan penurunan kadar faedah dalam ekonomi maju kebanyakan penganalisis meramalkan nilai ringgit meningkat tahun ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette