SUNGAI PETANI – Seorang pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya maut selepas dilanggar sebuah lori tanker di Kilometer 101.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu mengakibatkan lelaki berusia 21 tahun itu maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala, badan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Vario sedang bergerak di lorong kecemasan terlanggar bahagian belakang sebuah kereta Proton Waja yang berhenti untuk memberi bantuan kepada sebuah kenderaan rosak.
“Penunggang motosikal itu turut terlanggar pemandu kereta Proton Waja yang ketika itu berada di luar kenderaan sekali gus menyebabkan dia terjatuh di lorong kiri jalan.
“Ketika itu, sebuah lori tanker yang datang dari arah belakang lorong kiri itu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa bersama motosikalnya.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Zaidy, selain mangsa, pemandu Proton Waja berusia 39 tahun itu turut mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.
“Mayat penunggang motosikal di hantar ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.