KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diminta campur tangan bagi menghalang pengusiran dan pengosongan kawasan setinggan di Kampung Sri Makmur, dekat Taman Seri Gombak yang telah mendapat arahan perintah daripada mahkamah.
Setiausaha Parti Hijau Malaysia (PHM), Abdul Razak Ismail berkata, sebanyak 114 buah rumah dengan kira-kira 350 penduduk di kampung tersebut terlibat dengan pengusiran itu.
Menurutnya, kampung tersebut terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia yang diwakili ADUN Perikatan Nasional (PN), manakala, kerusi Parlimennya disandang oleh Amiruddin.
“Kerajaan Selangor harus peka bahawa mereka telah menetap di kampung itu sejak zaman generasi ibu bapa mereka lagi yang meneroka kawasan tersebut kira-kira 30-40 tahun lalu.
“Penduduk kampung telah beberapa kali ke pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor untuk bertemu Menteri Besar Selangor bagi membincang masa depan kampung mereka tetapi, tidak mendapat layanan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Razak berkata, pemilik tanah tersebut iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bercadang membina kondomium di tapak kampung tersebut dan lantaran itu PHM menyarankan agar pihak PKNS dapat berunding dengan penduduk kampung terlibat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan mengusir mereka.
Langkah itu katanya, bagi mendapatkan keadilan serta situasi “menang-menang” antara kedua-dua belah pihak.
“Tindakan pengusiran dan perobohan rumah-rumah penduduk kampung itu tidak mencerminkan keprihatan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Penduduk di perkampungan setinggan itu hanya tinggal di pinggir bandar dengan rata-rata mereka adalah dalam golongan berpendapatan rendah, ibu-ibu tunggal dan warga emas,” katanya. – MalaysiaGazette