Gambar hiasan

Saya merujuk artikel yang telah ditulis oleh Dr Yusof Abdullah pada 8 Februari 2024 yang bertajuk “Kerjaya Pensyarah Paling Relaks, Gaji Tinggi?” diterbitkan oleh Malaysia Gazatte, yang mana menurut penulisannya kebanyakan para pensyarah yang ada di Malaysia hanyalah menumpang populariti sebagai seorang pensyarah kurang beban tugas dan memperoleh kadar bayaran gaji yang tinggi. Sebagai seorang pelajar PhD (Psikologi) di Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga merupakan salah sebuah universiti penyelidikan, saya berasakan apa yang dinyatakan di dalam penulisan Dr Yusof Abdullah sama sekali tidak benar menggambarkan senario yang berlaku dalam kalangan pensyarah bukan sahaja di Universiti Kebangsaan Malaysia malahan para pensyarah yang bertugas di universiti lain sama ada universiti berstatus penyelidikan, komprehensif mahupun teknikal.

Saya rasa terpanggil untuk memberi penerangan mewakili suara hati para pelajar yang sentiasa melihat kesibukan yang dialami oleh para pensyarah sehinggakan sebagai seorang pelajar di peringkat PhD saya perlu bijak dalam mengatur jadual dalam membuat temujanji bagi tujuan penyeliaan dan melaporkan kemajuan kajian yang saya jalankan. Tidaklah penulisan saya ini bersifat ingin “mengipas” ataupun “mengampu” pensyarah-pensyarah saya tetapi dari kaca mata saya sebagai seorang pelajar saya melihat sendiri akan kesibukan yang dialami oleh para pensyarah saya malahan kesibukan ini juga turut dialami oleh rakan-rakan saya yang bertugas sebagai pensyarah di IPTA dan IPTS lain di Malaysia.

Kerjaya sebagai pensyarah masa kini bukan hanya setakat mengajar di dalam bilik kuliah malahan para pensyarah juga perlu melengkapkan pelbagai tugasan yang menjadi “Key Performance Index” beliau termasuklah menghasilkan penerbitan artikel mahupun buku, terlibat di dalam penyelidikan melalui geran-geran penyelidikan yang diperolehi di samping penglibatan para pensyarah di dalam aktiviti kemasyarakatan yang merupakan salah satu penglibatan yang dituntut dalam memastikan hasil dan mutu kerja pensyarah sentiasa berada pada tahap yang sepatutnya.

Saya sangat bersetuju dengan penulisan oleh Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli dari Universiti Sains Islam Malaysia bertarikh 12 Februari 2024 yang bertajuk “Universiti Malaysia Antara Yang Terbaik, Bukti Pensyarah Tidak Curi Tulang”. Para pensyarah adakalanya terpaksa menyiapkan tugasan di luar waktu bekerja sehinggakan sewaktu bercuti bersama keluarga mereka digunakan untuk menyiapkan kerja dan tugasan yang sepatutnya demi profesion mereka sebagai seorang pensyarah.

Cuti semester universiti juga bukanlah cuti kepada para pensyarah kerana pada waktu cuti semester inilah mereka mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat penanda aras, menjalankan penyelidikan, menganjurkan program-program khidmat masyarakat seterusnya berbincang dan mengumpulkan material yang akan digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran untuk semester yang akan datang. Pada waktu cuti ini jugalah, sebagai pelajar penyeliaan di peringkat PhD akan mengambil peluang untuk mengadakan pertemuan bersemuka, berbincang dan memperbaiki setiap kelompangan dan kekurangan penulisan kajian yang saya jalankan bagi memastikan kemajuan pengajian mengikut landasan yang sepatutnya.

Oleh yang demikian, sebagai seorang pelajar saya berpendapat isu sebegini tidak perlu disensasikan oleh kalangan pensyarah itu sendiri kerana sebagai seorang yang berjiwa pendidik dengan sifat mualim yang tinggi para pensyarah perlulah bersatu hati dan saling melengkapi dalam memastikan profesion sebagai seorang pensyarah dipandang mulia dan tinggi martabatnya. Melahirkan graduan yang berpotensi bagi memenuhi kehendak pasaran kerja yang sangat mencabar pada hari ini bukan sahaja menuntut komitmen yang tinggi dalam kalangan pensyarah malahan usaha dalam kalangan pelajar juga perlu seiringan demi memartabatkan bidang ilmu dan memastikan prestasi pendidikan di IPTA dan IPTS di Malaysia berada pada kelas yang tersendiri di mata dunia.

— Lokmanul Hakim Hamid (KB.PA)
Pelajar Doktor Falsafah (Psikologi)
Pusat Kajian Psikologi Dan Kesejahteraan Manusia
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi
Selangor Darul Ehsan.

(KB.PA- Kaunselor Berdaftar, Perakuan Amalan)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast