MELAKA – Perdana Menteri mengingatkan semua pemimpin negara supaya tidak terheret dengan amalan kerakusan, keangkuhan dan kegelojohan penjajah yang memunggah kekayaan negara sehingga memiskinkan rakyat.
Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pemimpin hari ini perlu bersama-sama memerdekakan rupa dan jiwa rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Negara kita merdeka (kerana) amalan pemimpin-pemimpin ketika itu, pemimpin-pemimpin penjajah yang memunggah kekayaan (dan) memiskinkan rakyat.
“(Mereka) memperkayakan diri dan keluarga mereka (ini) mesti dan wajib dihentikan oleh negara merdeka. Itu pengajaran pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke-68 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini malam ini.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sistem negara harus berubah dan tidak lagi mengamalkan sikap keangkuhan kuasa oleh pemimpin-pemimpin.
“(Sebaliknya) untuk dapat bersama-sama memerdekakan rupa dan jiwa rakyat…kita sekarang generasi penerus yang harus berusaha sedaya upaya mengangkat martabat negara, membangun ekonomi, menguruskan mutu pendidikan dan kesihatan.
“(Ini) supaya rakyat boleh hidup dengan lebih selesa dan inilah komitmen kita. Ini juga peringatan kepada pemimpin-pemimpin yang memikul amanah sekarang supaya belajar daripada elemen dan ciri yang positif dan baik.
“(Mereka) tidak terheret dengan amalan kerakusan, keanggkuhan dan kegelojohan pegawai-pegawai penjajah,” katanya. – MalaysiaGazette