Ahmad Yahaya.

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mengalu-alukan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (RUU355) sebagai langkah awal mengangkat martabat mahkamah syariah di negara ini.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, cadangan perluasan bidangkuasa Mahkamah Syariah melalui RUU355 bukanlah suatu perkara yang baharu.

“Selain pembentangan Rang Undang-undang Persendirian yang pernah dikemukakan Ahli Parlimen Marang pada tahun 2016 dan 2017 serta pembentangan RUU355 yang sepatutnya dibentang untuk pindaan pada persidangan Parlimen penghujung Oktober 2022 terbantut susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022, gesaan terhadap perluasan bidang kuasa Mahkamah Syariah telah disuarakan oleh Allahyarham Profesor Dr Ahmad Ibrahim sejak sekian lama.

“Oleh itu, tindakan meminda dan meningkatkan hukuman di bawah Akta 355 iaitu tiga tahun penjara, RM5, 000 denda dan enam kali sebatan adalah wajar kerana ia suatu langkah susulan pasca pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada 1988,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad, DUPP mengharapkan agar tiada lagi polemik berpanjangan dan tidak berkesudahan mengenai cadangan pindaan ini.

“Sejujurnya kita sudah terlalu lama berbahas perkara yang tidak perlu sehingga menyebabkan langkah mengangkat martabat mahkamah syariah seringkali menemui jalan buntu.

“Apa yang lebih mendukacitakan adalah usaha berterusan sesetengah pihak yang merendah-rendahkan taraf mahkamah syariah dalam sistem perundangan negara.

“DUPP turut menyatakan keyakinan bahawa pindaan RUU355 akan mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen Pas jika Kerajaan Persekutuan bersedia untuk membentangkannya sekali lagi di Parlimen,” tegasnya.

Beliau berkata, walaupun memahami usaha ke arah memartabatkan Mahkamah Syariah ketika ini turut digerakkan melalui Jawatankuasa Khas mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam, namun apa-apa pun ia tetap akan melibatkan peningkatan hukuman yang dihadkan di bawah Akta 355.

“Di sinilah benih martabat Mahkamah Syariah yang perlu disemai semula,” ujarnya. – MalaysiaGazette