Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kerajaan tiada memperuntukkan dana khas mendapatkan hak eksklusif bagi artis antarabangsa yang mengadakan konsert di dalam negara.

Ia kerana, konsert artis luar negara adalah anjuran syarikat swasta atau persendirian, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

“Kebanyakan acara ini antara syarikat swasta yang menandatangani kontrak perjanjian untuk membawa masuk hak eksklusif untuk acara tersebut.

“Konsert Muse yang diadakan pada tahun lalu diadakan tanpa dana kerajaan, diusahakan oleh penganjur sendiri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Etika Kod Wartawan Malaysia.

Beliau ditanya soalan itu selepas Singapura dilapor membelanjakan lebih kurang RM10 juta untuk mendapatkan hak sepenuhnya terhadap Konsert ‘The Eras Tour’ Taylor Swift.

Ini bermakna konsert tersebut tidak boleh diadakan di mana-mana negara ASEAN lain.-

Katanya,  Kementerian Komunikasi hanya memudahkan proses permohonan untuk sesebuah konsert diadakan.

“Sekirannya proses dapat dipermudah, itu juga akan menjadi satu daya tarikan kepada penganjur-penganjur, kerana kebiasaannya proses tu bukan antara artis dengan kerajaan tapi dengan penganjur,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast