Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dibawa keluar daripada masjid untuk di bawa ke TUDM Subang untuk di hantar pulang ke Sarawak ketika di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 21 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Upacara penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud di Masjid Negara, selesai jam12.30 tengah hari tadi.

Terdahulu, solat jenazah dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain serta kira-kira 100 hadirin terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai.

Beberapa kenamaan turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham, termasuk Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Kenderaan yang membawa keluar jenazah Abdul Taib Mahmud dari Masjid Negara ke TUDM Subang untuk diterbangkan ke Sarawak. Foto WAN NABIL NASIR, 21 FEBRUARI 2024.

Jenazah Allahyarham bekas Ketua Menteri Sarawak paling lama itu kemudian dibawa ke Pangkalan Udara TUDM Subang menggunakan kenderaan milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk diterbangkan pulang ke Sarawak bagi pengebumian esok.

Jenazah Allahyarham diiringi isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan anak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia pada 4.40 pagi tadi selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di hospital berkenaan. – MalaysiaGazette