KUALA LUMPUR – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah memudah cara pelaburan sebanyak RM21.41 bilion pada 2023, dengan RM41.45 bilion daripadanya telah direalisasikan dalam tempoh yang sama dan mewujudkan lebih 24,000 peluang pekerjaan.

Pelaburan langsung asing menyumbang sebanyak RM8.97 bilion atau 42 peratus dengan Amerika Syarikat menjadi pelabur terbesar iatu sebanyak RM8.12 bilion, diikuti China (RM0.55 bilion) dan Jerman (RM0.28 bilion), manakala pelaburan domestik menyumbang RM12.44 bilion.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, jumlah pelaburan yang dicapai berkenaan melebihi sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak RM18 bilion pelaburan dan 20,000 peluang pekerjaan untuk 2023.

“Pencapaian ini telah menunjukkan keberkesanan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025 (NCER SDP) yang membimbing NCIA untuk memacu pelaburan ke rantau ini dan memperluas pembangunan sosioekonomi NCER.

“Sejak NCER ditubuhkan pada 2008 sehingga 2022, NCER mencatatkan pelaburan terkumpul sebanyak RM206.41 bilion dengan 241,140 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan. Pelaburan langsung asing menyumbang 44.7 peratus daripada pelaburan terkumpul yang dicatatkan setakat ini, manakala selebihnya adalah pelaburan domestik,” katanya.

Mohamad Haris menjelaskan, NCER SDP akan terus menjadi tulang belakang perancangan NCIA untuk tahun-tahun akan datang dengan tumpuan kepada projek strategik, pelaburan berimpak tinggi dan Bakat & Pembangunan PMKS yang direka untuk menangani keperluan segera rakyat serta perniagaan dan industri untuk mengecilkan jurang pembangunan luar bandar-bandar di negeri NCER Perak, Kedah, Pulau Pinang
dan Perlis.

Pelan strategik berkenaan menetapkan sasaran untuk mengubah NCER menjadi ekonomi bernilai RM300 bilion menjelang 2025 dan setakat Disember 2022, NCIA telah pun mencapai nilai Keluaran Pembangunan Kasar (KDNK) sebanyak RM249.5 bilion.

Bagi meningkatkan kualiti landskap perindustrian dan ekonomi di rantau ini, NCIA menubuhkan Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC) yang akan menjadi pemain utama dalam menarik perniagaan berkaitan teknolog.

Inisiatif ini penting untuk mempromosikan inovasi dan teknologi, menyediakan platform untuk pembangunan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri.

Dalam pada itu, Mohamad Haris berkata, walaupun NCER dijangka berdepan dengan persekitaran ekonomi global yang tidak
menentu namun ia berpegang teguh pada tanggungjawab yang diamanahkan dan percaya strategi yang terkandung
dalam NCER SDP berupaya membantu kami untuk mengharunginya,” jelasnya. – MalaysiaGazette