Mawla Muhammad Amin Hasani

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri sekiranya berlaku pelanggaran dalam aktiviti keagamaan membabitkan Mawla Muhammad Amin Hasani, – individu yang mendakwa keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam masa sama, bidang kuasa polis adalah memastikan aspek ketenteraman dan keamanan sentiasa terpelihara.

“Aktiviti dia bersifat keagamaan kalau ada elemen pelanggaran dengan enakmen negeri, polis akan bekerjasama pihak berkuasa negeri untuk ambil tindakan yang sesuai, kalau ada percanggahan.

“Tugas polis adalah jaga ketenteraman dan keamanan awam jadi yang kita lakukan sekarang meneruskan pemantauan kalau ada elemen menjejaskan ketenteraman awam melibatkan individu atau pengikutnya itu bidang kuasa polis,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Saifuddin memaklumkan, lelaki tersebut merupakan warganegara Algeria yang menggunakan pasport sosial antarabangsa Perancis.

“Saya mengesahkan dia keluar masuk menggunakan pas sosial. Jadi dia boleh berada di negara ini selama 90 hari,” katanya lagi.

Tambah Saifuddin, sehingga kini tiada laporan polis yang dikemukakan terhadap lelaki berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pergerakan individu dan kumpulan terbabit sedang dipantau termasuk madrasah di Selangor yang aktif mempromosi kutipan berkenaan.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan pindaan perlembagaan berkenaan kewarganegaraan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Kabinet pada 8 Mac ini.

“Kita ambil kira semua pandangan dalam proses pembikinan pindaan ini. Sesi libat urus libatkan semua tokoh individu perundangan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Kita harap sempat (dibentang di Parlimen tahun ini) tapi ia bergantung pembentangan saya kepada Jemaah Kabinet,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast