Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu di beberapa daerah yang dijalankan pada Isnin dan Selasa lalu

JOHOR BAHRU – Seramai 38 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu di beberapa daerah baru-baru ini.

Pengarah Imigresen negeri, Baharuddin Tahir berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 58 tahun itu ditahan di Muar, Batu Pahat, Mersing dan Segamat.

Rata-rata mereka ditahan kerana tidak mempunyai pas atau permit sah,tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas ditetapkan.

“Mereka yang ditahan melibatkan lima lelaki Bangladesh, sembilan lelaki dan lapan wanita Indonesia, lima lelaki Pakistan, dua lelaki India serta enam lelaki dan tiga wanita Myanmar,” katanya di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigrsen 1963.

Baharuddin memberitahu, salah seorang lelaki Bangladesh yang ditahan itu juga disiasat mengikut Seksyen 55E kerana membenarkan PATI masuk atau tinggal di dalam premis.

Sementara seorang lagi lelaki Bangladesh disiasat mengikut seksyen 56(1)(i) Akta Imigresen 959/63, manakala seorang lelaki Indonesia disiasat mengikut seksyen 55B(1) akta sama.-MalaysiaGazette