Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bergambar bersama tetamu yang hadir selepas majlis penutup International Conference on Islamic Economics and Finance 2024 (ICIEF 2024) di Sasana Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia menerima cadangan hasil Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) ke-15 mengenai model baharu ekonomi sebelum diangkat menjadi Kertas Putih.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan perlu memperhalusi cadangan itu.

“Keputusan sama ada sebarang bentuk Kertas Putih itu bergantung kepada keputusan kerajaan tapi mereka baru mencadangkan.

“Pada peringkat ini mungkin mereka nak buat ialah kandungan Kertas Putih supaya dapat dipertimbangkan pihak kerajaan.

“Bagaimanapun kerajaan akan tengok dulu apa kandungannya, apa yang nak dicadangkan sebelum kita membuat keputusan selanjutnya sama ada dalam bentuk Kertas Putih atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penutupan ICIEF di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Sebelum itu, Presiden Persatuan Antarabangsa Ekonomi Islam (IAIE), Prof Emiritus Datuk Dr Azmi Omar berkata, persidangan itu memfokuskan strategi dan langkah ke hadapan untuk membangunkan ekonomi serta kewangan lebih bersepadu, mampan dan manusiawi.

Mohd Azmi berkata, penganjuran kali pertama ICIEF di Makkah pada 1976 menjadi pencetus kepada disiplin ilmu baharu Ekonomi Islam.

Menurut Mohd Azmi, ciri-ciri ekonomi Islam juga telah mengubah tingkah laku masyarakat di dalam urusan perdagangan dan pertukaran komoditi era ini.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita tentang cadangan itu bakal dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan, Zambry berkata, kerajaan perlu menilai semula cadangan itu sebelum ia boleh dianggap Kertas Putih.

“Bergantung kepada mereka tapi itu adalah keputusan kerajaan sama ada kita anggap itu kertas putih ataupun sebaliknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette