Komisioner Khaw Kok Chin .

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran membabitkan seramai 45 pegawai kanannya.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Alzafry Ahmad menerusi satu kenyataan rasmi mengumumkan pertukaran pegawai kanan itu yang turut membabitkan pertukaran dalam dua jawatan pengarah di Bukit Aman dan jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Kesemuanya akan berkuatkuasa pada 25 Mac ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din mendahului senarai pertukaran itu apabila diangkat sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din bertukar sebagai Pengarah JKDNKA di Bukit Aman menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali. Foto FAREEZ FADZIL, 17 JULAI 2023.

Pelantikan Mohd Kamarudin menggantikan penyandang jawatan itu Datuk Seri Hazani Ghazali yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang pertama pada 31 Januari lalu.

Manakala Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan JSJN Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Gerakan) JKDNKA di Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin pula ke Bukit Aman untuk mengisi jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menggantikan Kamarudin.

Manakala Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa pula diangkat sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu dengan memangku pangkat Komisioner.

Deputi Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa bertukar sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur baharu memangku pangkat CP  menggantikan penyandangnya Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid yang akan bersara wajib 1 April ini dalam pengumuman yang dikeluarkan oleh Bukit Aman hari ini.

Dalam pada itu Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Penjawatan), Bahagian Perkhidmatan/ Penjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad.

Manakala Mohamed Usuf pula bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyandang jawatan Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan menggantikan Mohd Rusdi yang diangkat sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.

Selain itu, Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din pula bertukar sebagai Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan di JSJN Bukit Aman dan akan memangku pangkat Deputi Komisioner.

Manakala Ketua Penolong Pengarah (D11) Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak JSJ Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan pula kekal di jawatan itu dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Dalam pada itu, Ketua Polis Deerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman pula bertukar sebagai Ketua Penolong Pengarah Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Turut bertukar dari Selangor ialah Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Kontinjen Perak dengan memangku pangkat ACP.

Turut berlaku pertukaran membabitkan jawatan Ketua Polis Daerah Ipoh di Perak apabila Ketua Polis Daerah Padawan, Sarawak Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilantik ke jawatan tersebut menggantikan Asisten Komisioner Yahaya Hassan.- MalaysiaGazette